happy mood

happy mood

Monday, 2 October 2017

Tumpah

Tumpahnya air mata ini kerana fitnah dunia
Yang tidak pernah habis-habis
Seperti longgokkan sampah di sana sini
Yang membusuk di segenap kawasan.

Tumpahnya air mata ini kerana teman
Yang menjadi sebahagian daripada diri
Yang bersama berjuang mengecapi impian
Demi untuk mencapai sebuah kejayaan
Hati ini dia sakiti.

Tumpahnya air mata ini kerana keluarga
Di saat perbalahan berlaku
Diri ini tidak berdaya berbuat apa-apa
Hanya mampu melihat dan menangis.

Tumpahnya air mata ini kerana diri sendiri
Tidakku nafikan diri ini berdosa
Di kala hati ini dihimpit dengan rasa bersalah
Kerap kali air mata ini menitis.

Saat tumpahnya air mata ini
Aku merasa takut
Aku merasa lemah
Aku merasa hilang arah dan tuju
Aku merasa tidak kuat untuk menghadapi semua ini
Ya Allah, kepada-Mu tempat aku berserah diri
Pimpinlah daku kembali kepada-Mu.





Friday, 5 May 2017

KEHADIRAN

Kasih sayang itu hadir tanpa diduga
Tanpa diminta, tanpa dipaksa
Hadirnya umpama deruan bayu pagi
Lembut membias-bias ke dalam hati.

Tika hati dikaburi kegelapan dan kesamaran
Kau hadir menemuiku
Membawa sinar cahaya
Menyuluh ke dalam sudut hatiku.

Tika hati ini dikaburi kebencian
Kau datang kepadaku
Mengajar erti kasih dan sayang
Mengubah kekesalan di hati.

Tika hati ini diselubungi kesedihan
Kau ada bersamaku
Memeluk tubuhku erat
Cuba menenangkan diriku
Menguatkan semangatku kembali.

Kau hadir tepati waktunya
Membawa sinar bahagia
Bersama gelak dan ketawa
Mendamaikan hati yang duka lara.

Sahabat, terima kasih
Terima kasih kerana menunjuk jalan pulangku
Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada diriku
Terima kasih kerana selalu ada bersamaku
Terima kasih atas semua tunjuk ajarmu
Jasa baikmu akan aku ingat selalu.

Walaupun begitu singkat pertemuan kita
Namun kau banyak mengajarku
Erti kehidupan yang sebenar
Kehidupan yang aku cari selama ini
Aku yakin kita akan bertemu semula, sahabatku
Akan aku panjatkan doa buatmu selalu.






Wednesday, 16 November 2016

CERPEN


DIA ABANG AKU




Aku memandang wajah ibu seperti mengharapkan satu penjelasan selepas aku mendengar berita tentang abang akan berkahwin. Ya, memang benar. Abang aku bakal berkahwin dengan seorang gadis pilihannya. Aku tidak kisah kalau dia mahu berkahwin, cuma aku berasa hairan mengapa dia mahu melangsungkan perkahwinannya dalam masa yang terdekat ini. 

“Betul ke, ibu? Kenapa cepat sangat? Bukan abang dengan budak perempuan tu baru berkawan saja.” tanya aku kehairanan.

“Betul la...takkan ibu nak main-main pulak." jawab ibu.

"Tapi, kenapa? Apa sebabnya?"

"Mana la ibu tahu. Cubalah Su tanya abang sendiri."

“Ishh..tak nak la ibu. Nanti apa kata abang pulak. Dah la lama tak berhubung dengan dia, tiba-tiba nak ambik kisah pasal perkahwinan dia.”

“Hmm...tadi nak tahu sangat pasal abang kamu tu.”

“Tak ada la ibu, Su cuma tanya saja. Mana la tahu kalau ibu tahu.”

“Ibu tak tahu. Ni pun pak long kamu yang bagi tahu ibu pasal abang kamu tu. Ibu pun tak tanya banyak la.”

Syazwan Ikmal. Itulah nama abang sepupuku. Masa kecil dulu, dia sangat rapat dengan keluargaku. Bukan dia sahaja bahkan keluarganya juga. Abang dan keluarganya akan selalu pulang ke kampung untuk menziarahi atuk dan opah. Apabila mereka pulang, aku dan adik memang seronok kerana kami berdua dapat main bersama-sama dengan abang dan adiknya. Namun apabila atuk telah meninggal dunia 10 tahun yang lalu, semuanya telah berubah. Mereka sekeluarga jarang-jarang pulang ke kampung terutamanya abang. Dari situ kami mula tidak rapat. Aku pun tidak pasti sebabnya. Mungkin kerana kami sama-sama sibuk dengan urusan masing-masing atau mungkin kerana peningkatan usia, jadi ada batasan yang perlu dijaga dalam pergaulan. Hmm...entahlah.

**********
“Assalamualaikum. Hmm..ada apa ni?” tanya aku sebaik sahaja menjawab panggilan telefon daripada adik aku, Asmira.

“Wa‘alaikummusalam. Tak ada apa, saja nak call. Hehehehe…tak boleh ke?” tanya Asmira pula.

“Bukan macam tu. Kamu tu jarang-jarang nak call akak. Kalau ada apa-apa pun kamu akan mesej ja. Ni tiba-tiba ja call. Kan pelik tu..” kataku sambil mengangkat sebelah kening ke atas.

“Hehehe…Kak Su ni. Mira bosan la kat bilik ni tu yang call akak ni. Kak Su baru balik kelas ke?”

“Ha’ah. Baru ja sampai bilik ni. Hmmm…bosan ja baru nak call akak ya. Roomate kamu mana? Tak ada kat bilik ke?”

“Tak ada. Dhia terlibat dengan program course dia. Mungkin dia malam nanti baru dia balik.”
“Oh..patut la bosan sangat.”

“Kak Su, tadi Mira ada call ibu. Ibu ada cerita pasal bakal isteri abang. Kak Su nak tahu tak, umur dia sama dengan umur akak. Kebetulan kan.” Cerita Asmira.

Pada mulanya aku agak terkejut. Tetapi apabila difikirkan kembali itu normal. Hanya lima tahun sahaja beza umurnya. Biasalah kan kalau jarak umur begitu. Tidak terlalu jauh, tidak terlalu dekat. Ramai pasangan yang berkahwin dengan jarak umur begitu, bahkan ada pasangan yang beza umurnya hampir 20 tahun. Lagipun orang selalu kata kalau dah jodoh tu tak ke mana, tidak kira lah berapa umurnya. Jika sudah sampai jodoh dan cukup syarat-syarat nikah, seseorang itu berhak berkahwin. Jadi, ia normal tambahan pula pada zaman sekarang.

Antara syarat nikah bagi bakal suami ialah Islam, lelaki, tidak beristeri empat dalam satu masa, bukan dalam ihram haji/umrah dan bukan ma
hram. Bagi bakal isteri pula, Islam/ahli kitab, perempuan, bukan isteri orang, bukan dalam idah raj’ie, bukan dalam ihram haji/umrah dan bukan mahram. Eh! Masuk bab kahwin pula.

“Okey la tu,” jawabku.

“Hehehe..memang la ok. Tapi nanti bila dia dah jadi isteri abang, Kak Su kena panggil dia kakak sedangkan Kak Su dengan dia sama umur,” beritahu Asmira sambil ketawa kecil.
“Hmm..nak buat macam mana. Ikut ja lah.”

“Hmm..ikut ja lah kan. Kak Su, nanti balik tak masa akad nikah abang?”

“Tak. Masa tu akak nak exam final semester. Jadi, akak nak fokus pada exam. Akak berdoa dari jauh ja. Masa majlis perkahwinan mereka nanti boleh la, masa tu dah cuti semester dah. Kamu pulak balik tak?”

“Tak jugak. Mira pun sama. Exam final jugak masa tu. Lagipun, Mira jauh. KL ke Kedah pulak tu.”

“Hehehe..kita sama-sama pergi masa majlis perkahwinan mereka ya.”

“O.K,” disebutnya satu-persatu perkataan itu.

“Okey. Nanti kita borak-borak lain ya. Akak nak tukar baju dan solat Asar dulu. Assalamualaikum.”

“Wa‘alaikummusalam. Baiklah.”

Lama sudah aku dan Asmira tidak berborak panjang begini. Rasa rindu pula padanya. Mana tidaknya masing-masing berjauhan dan jarang-jarang berjumpa. Aku belajar di Perak dan Asmira di Kuala Lumpur. Memang susah hendak berjumpa. Kalau berjumpa pun masa cuti semester sahaja. Itu pun kalau aku tidak terlibat dengan program universiti. Jika aku terlibat, aku akan pulang ke universiti lebih awal daripada cuti yang telah ditetapkan. Itulah cabaran terbesar sebagai seorang pelajar di perantauan yang akan merindui keluarga dan rumah dari jauh.

**********
Aku berehat di dalam bilik petang itu ingin merehatkan diri setelah hampir lima jam berada di dalam bas. Kini aku berada di rumah. Rumahku syurgaku. Hmm..seronoknya berada di rumah. Telingaku mendengar bait-bait lirik lagu kegemaranku, Seri di Hati dari Zulfan. Salah satu kumpulan nasyid kesukaan aku. Aku memang suka mendengar lagu itu. Muzik dan lagunya menepati dengan jiwa dan citarasaku. Liriknya juga lebih terarah kepada ketuhanan. Selain nasyid, aku juga menyukai lagu-lagu yang rentak muziknya slow dan tidak terlalu rancak. Tidak kiralah lagu Melayu, English, Hindi, korea ataupun cina. Pokoknya semua jenis lagu aku dengar selagi ia menepati dengan jiwa dan citarasaku.  

“Suhana.” Ibu memanggilku.

Aku membuka earphone di telingaku sambil mata memandang ke arah ibu. Ibu berdiri di tepi pintu bilikku. Dia seperti mahu memberitahuku sesuatu.

“Ya. Kenapa ibu?” tanyaku.

“Malam ni pak long dan mak long nak datang rumah. Abang kamu pun datang juga.” Ibu memberitahu aku. Aku mendengarnya. Tanpa memikir panjang lantas aku mengangguk.

**********
Malam itu seperti yang telah diberitahu oleh ibu, pak long dan sekeluarga datang ke rumahku. Pada mulanya mataku tercari-cari kelibat Umairah, isteri abang yang sah dinikahi baru-baru ini. Aku ingin benar berkenalan dengannya kerana selama ini kami berdua belum pernah bertemu. Namun hasratku tidak kesampaian. Dari tadi aku mencari-cari tetapi aku tidak melihat susuk tubuhnya. Hanya abang yang aku lihat berada di sebelah mak longku. Pak long dengan ayahku pula sibuk bercerita sesuatu. Aku sendiri pun tidak pasti apa ceritanya. Nampaknya malam ini aku tidak dapat berkenalan dengan Umairah lah. Mungkin dia tidak sihat dan sebab itu dia tidak datang. Fikir aku begitu.

Setelah menghidangkan tetamu dengan air dan sedikit kuih-muih, aku bercadang untuk duduk di atas kerusi rotan sebelah Asmira. Kerusi itu tidak begitu jauh dari sofa tempat ayah dan ibu serta keluarga pak long duduki. Baru sahaja kakiku melangkah satu tapak, ayah memanggilku dan menyuruhku duduk di atas sofa di sebelah ibu. Sebenarnya aku agak keberatan untuk duduk di situ namun aku menuruti sahaja kehendak ayah. Aku berasa agak janggal dan malu untuk berhadapan dengan pak long sekeluarga. Mungkin sebab lama tidak bertemu dengan mereka. Tambahan pula, aku merasa diriku sedang diperhatikan tetapi aku tidak berani memaling muka ke arah itu.

“Suhana sekarang dah semester berapa?” tanya mak long kepadaku.

“Lima.” Jawabku sepatah.

“Oh! Dah tak lama tu. Nak abis dah kan? Setahun lagi kan?” sampuk pak long pula.

Aku mengiakannya dengan menganggukkan kepala sambil tersenyum kecil. Aku masih lagi merasakan mata itu merenung ke arahku. Aku merasa tidak selesa. Ingin sahaja aku melangkah kaki pergi dari situ. Namun aku tidak boleh berbuat demikian kerana memikirkan kehendak ayah tadi.

“Angah, kamu dah beritahu Suhana tentang tu.” Tanya pak long kepada ayah.

Aku mengerut dahi apabila mendengar persoalan pak long. Mataku tertumpu kepada ayah.

“Belum lagi, along. Lagipun Su baru sampai siang tadi. Jadi, saya tunggu malam ni baru hendak beritahunya.” Ayah menjawab. Matanya turut memandangku.

“Rasanya elok lah kamu beritahu dia sekarang.” Kata pak long pula. Aku tidak mengerti maksud mereka. Namun hatiku tiba-tiba berdebar. Apakah maksud mereka tentang itu. Aku berkata-kata di dalam hati.

“Su, sebenarnya majlis akad nikah abang kamu tak jadi hari tu…” ayah memulakan bicaranya.

Jadi? Tanyaku di dalam hati. Tidak sabar untuk menantikan ayat yang seterusnya. Hatiku ini semakin berdengup laju.

“Jadi, kami bersepakat mahu menggantikan Umairah dengan kamu.” Sambung ayah.

“Hah!!” Terkeluar juga suara dari bibirku. Aku benar-benar terkejut apabila mendengarnya. Betul ke apa yang aku dengar ni…atau aku tersalah dengar? Jeritku di dalam hati.

**********
Aku di dalam bilik gelisah memikirkan perkara tadi. Kenapa jadi macam ni? Kenapa aku? Kenapa aku yang jadi mangsa keadaan? Kenapa? Dia abang aku. Walaupun hanya abang sepupu tapi aku dah anggap dia sebagai abang kandungku. Tak kan aku hendak berkahwin dengan dia. Ya Allah!! Bantulah aku. Hatiku merintih. Air mata mula menitis. Aku memang mudah menangis. Bagiku menangis membuatku lebih kuat dan menjadikan aku seorang yang tabah. Biasanya setelah aku menangis aku merasa beban yang ditanggung akan berkurangan. Ia menjadikan aku semakin tenang. Tenang menghadapi masalah yang dihadapi. Menangis adalah salah satu daripada ubat yang menyembuhkan hati seketika.
Aku menyeka air mata setelah puas menangis. Aku menarik nafas dalam-dalam kemudian menghembusnya perlahan-lahan. Aku mencari kekuatan yang tersisa.

“Aku perlu kuat. Kuat untuk hadapi semua ni.” Kataku memujuk hati.

Teringat aku peristiwa sebentar tadi. Peristiwa yang membuatkan aku terbeban.

“Tapi apa sebabnya?” tanyaku perlahan.

“Su, semua ni terjadi di luar dugaan kita. Dua hari sebelum majlis akad nikah tu, kami dapat tahu yang Umairah sedang mengandung. Dia mengandung anak orang lain. Abang Umairah datang ke rumah pak long dan menceritakan hal ni kepada kami semua. Umairah sebenarnya cuba mengambil kesempatan supaya abang kamu menjadi ayah kepada anaknya. Dia mahu anaknya lahir berbapa. Jadi, kami batalkan majlis akad nikah tu.” Beritahu pak long.

Aku mendengar penjelasan pak long dengan teliti. Mulutku terasa berat. Tidak mampu untuk bersuara. Hatiku pula bergolak hebat. Kepalaku tertunduk. Tidak mampu untuk mengangkat ketika itu.

“Kami semua berharap Su dapat menggantikan tempat Umairah sebab hari majlis perkahwinan semakin dekat. Lagi seminggu dari sekarang. Semua saudara-mara dan jiran tertangga dah tahu pasal majlis tu. Barang-barang keperluan pun dah beli. Kami tak sempat nak cari orang lain untuk jadi pengganti dalam masa yang singkat ni dan sebab tu kami ambil keputusan untuk pilih Suhana. Kami semua berharap Suhana dapat bantu kami walaupun kami tahu mesti susah bagi Suhana untuk terima.” Sambung pak long.

Terasa diri ini seperti ditimpa dengan batu besar. Aku menghelakan nafas perlahan-lahan. Aku mengangkat kepala memandang mereka yang berada di hadapanku. Aku pasti masing-masing ingin jawapan daripadaku. Namun aku tidak dapat memberi jawapan ketika ini. Aku benar-benar buntu. Tidak dapat berfikir dengan jelas. Aku perlu masa untuk memikirkan semua ini sebelum memberi jawapan yang pasti kepada mereka.

“Su, perlukan masa. Harap semua faham.” Kataku perlahan.

Mereka memahami kehendakku. Mereka tahu ia berat bagiku untuk membuat keputusan itu. Namun riak muka mereka sangat mengharapkan aku menerima abang sebagai bakal suamiku. Aku memandang abang dan dia juga memandangku saat itu. Dia langsung tidak bersuara. Hanya matanya sahaja memandangku dari tadi. Arrggh!! Aku sangat berharap ada jalan lain selain jalan ini. 

**********
Aku menyatakan jawapan setelah lama memikirkan perkara itu. Hampir tiga malam berturut-turut aku bangun di tengah malam melakukan solat istikharah untuk memohon petunjuk. Dari situ aku mendapat jawapan dan kekuatan semula. Aku tahu masa yang ada terlalu singkat. Jadi, aku segera memberi jawapan itu setelah aku berfikir masak-masak. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu menguris hati kedua-dua belah pihak terutamanya hati ibu dan ayah. Aku berharap jawapanku itu memenuhi harapan mereka semua. 

Walaupun jawapan telah dibuat, tetapi kadang-kadang hatiku kecil berkata-kata. Adakah ini yang terbaik? Mampukah aku memikul tanggungjawab ini sedangkan aku tidak bersedia? Aku memejam mata. Tangan kananku aku letak di dada dan menghelakan nafas. Ya Allah, kepada-Mu tempat aku bergantung. Aku berharap inilah yang terbaik dan aku sangat perlukan bantuan-Mu. Andai ini jalan yang telah ditakdirkan untukku, berilah aku kekuatan untuk aku redha dengan semua ini. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Aku memohon doa di dalam hati.

 Aku membuka mata perlahan-lahan. Mataku memandang al-Quran yang terletak di atas rak buku lantas aku mencapai dan membacanya. Air mataku mula jatuh satu-persatu mengenai lembaran yang ku baca. Biarlah hati ini merasa tenang membaca surat-surat cinta Ilahi.

**********
“Wan, kita pergi kedai tu lah.” Beritahu ibu kepada abang sambil jari ibu menunjuk ke arah kedai emas itu.

Abang menghentikan keretanya di hadapan kedai emas itu. Aku yang berada di bahagian belakang pemandu memerhati. Hari ini aku mengikut ibu ke kedai emas untuk mencari sebentuk cincin untuk majlis akad nikah esok. Cincin yang diberi sebelum ini tidak muat dengan jariku. Yalah itu bukan ukuran jariku tetapi Umairah. Jadi, aku terpaksa mengikut mereka untuk mencari cincin yang baru. Kalau diikutkan hati, aku tidak kisah dengan ukuran cincin itu. Aku boleh sahaja memakainya walaupun tidak muat dengan jariku kerana memikirkan majlis akad nikah itu akan berlangsung esok. Namun ibu dan mak long beria-ia menyuruh abang membeli yang baru. Fikir mereka aku tidak selesa. Abang menuruti sahaja kehendak mereka.

“Su, cuba kamu pakai yang ni.” Ibu menyuruhku memakai sebentuk cincin emas yang sarat dengan batu-batu kecil di atasnya. Aku mengambil dan menyarungnya di jari masinku. Muat sahaja cincin itu dengan jariku.

“Hmm..cincin ni memang cantik tapi Su tidak suka la. Banyak sangat batunya.” Beritahuku perlahan kepada ibu.

Aku tahu sejak dari tadi lagi abang memerhati sahaja gelagat kami berdua yang sibuk memilih cincin yang sesuai. Abang langsung tidak bersuara. Jika bercakap pun hanya dengan ibu. Fikirku mungkin dia malu hendak bercakap denganku. Lagipun, tidak ada hal yang penting untuk dibicarakan.

“Kamu ni Su, susah betul la. Dari tadi pilih-pilih ni, tak kan tiada satu yang kamu berkenan.” Marah ibu kepadaku.

“Ibu, jangan la marah. Biar Su tengok di sebelah sana ya. Mana lah tahu kalau ada yang Su berkenan.” Aku memujuk ibu sambil bibirku mengukirkan senyum untuk ibu.

“Hmm..pergilah.” Jawab ibu acuh tak acuh.

Aku melangkah ke meja yang paling hujung. Mataku memandang semua perhiasan di situ. Cincin, rantai, gelang tangan dan lain-lain. Semuanya nampak cantik. Namun bagiku, aku tidak gemar memakainya walaupun aku suka melihat kecantikan perhiasan tersebut. Ramai kawan-kawanku yang menyatakan aku seorang yang pelik. Yalah biasanya perempuan akan suka benar dengan barang kemas dan perhiasan seperti ini sehingga ada sesetengahnya yang sanggup membayar dengan harga ribuan ringgit bagi memilikinya. Tetapi aku tidak begitu. Nampaknya aku bukanlah salah seorang daripada mereka. Jika aku mahu membeli dan memakainya pun, aku akan memilh yang sederhana dan ringkas.
Mataku memandang kosong ke arah semua perhiasan yang terletak di dalam meja kaca itu. Tiba-tiba mataku tertumpu kepada sebentuk cincin yang satu ini. Ia kelihatan ringkas sahaja. Terdapat ukiran kecil dan di atas ukiran itu seperti ditaburi dengan serbuk yang berwarna putih. Cantik. Getus hatiku. Aku ralit merenung cincin itu.

“Apa yang Ana tengok tu?” 

Aku tersentak. Aku kenal suara itu. Aku dapat mengagak siapa yang memanggilku dengan panggilan Ana. Perlahan-lahan aku mengalih wajahku ke arah suara itu. Abang sudah berada di sebelahku. Entah bila lagi dia berada di situ memerhati tindakanku. Aku mengalih wajah ke hadapan semula sebelum menjawab pertanyaannya.

“Tak..saya..hmm..saya cuma tengok cincin tu ja.” Beritahuku tersekat-sekat. Aku merasa malu.

“Cincin yang mana satu?” Abang bertanya lagi.

Aku menunjukkan jariku ke arah cincin tadi. Matanya turut memandang ke arah cincin itu.

“Ana suka cincin tu?”

Sebelum sempat aku hendak menjawab. Abang terlebih dulu memanggil pekerja di situ untuk mengeluarkan cincin itu dari meja kaca. Kemudian dia menyuruh aku memakainya. Aku menuruti. Cincin itu ku sarung ke jari manisku. Muat.

“Muat?” Dia bertanya lagi. Aku mengangguk.

“Okey. Saya beli yang ini.” Beritahu abang kepada pekerja itu.

Aku mengangkat kepala memandang abang. Dia memandangku sekilas dengan senyuman sebelum membuat pembayaran. Aku terpana. Aku tidak pasti senyumannya itu untuk siapa, sama ada untuk pekerja kedai itu atau untuk aku. Apa yang aku pasti dia mula bersuara denganku dan itu kali pertama dia bercakap denganku sepanjang tempoh perjumpaan kami.

**********
Aku merenung cincin yang tersemat kemas di jari manisku. Majlis akad nikah siang tadi berlangsung dengan lancar. Kini aku sah menjadi isteri kepada Syazwan Ikmal. Status abang sepupu telah bertukar menjadi suami. Sepanjang majlis itu berlangsung sehingga sekarang, hatiku sentiasa berdebar-debar. Seakan ia tidak mahu berhenti.

“Ana.” Abang memanggilku.

Aku mengangkat kepala memandangnya. Dia kelihatan begitu segak mengenakan baju Melayu yang berwarna hijau muda. Terasa warna itu sesuai dengan warna kulitnya. Abang yang berada di hadapan memandang wajahku lalu dia memberikan senyuman kecil untukku. Aku hanya memandang seolah tidak tahu hendak memberi reaksi apa. Hatiku pula ketika itu berdengup laju.

“Abang minta maaf, Ana. Abang tahu Ana terbeban. Ana terpaksa lalui semua perkara ni.” Beritahu abang. Aku mendengar.

“Ana mungkin fikir kenapa Ana yang menjadi mangsa keadaan. Tapi Ana percayalah abang tidak ada maksud untuk buat Ana tertekan dengan semua ni. Abang sayang kan Ana. Abang nak Ana jadi isteri abang sebab tu abang yang mencadangkan supaya Ana menggantikan tempat Umairah.”

Aku terkejut mendengar pengakuannya. Mataku terkebil-kebil memandangnya. Dia menarik nafas dan menghembus sebelum menyambung perbicaraannya.

“Abang tak tahu bila perasaan ni wujud. Adakah pada masa Ana datang melawat abang di hospital ketika abang kemalangan dulu, atau pada masa abang sekeluarga datang ke rumah Ana pada malam itu..abang tak pasti bila. Yang pasti abang suka kan Ana. Abang suka lihat Ana terutamanya bila Ana senyum. Nampak manis.”

Aku mengetap bibir. Aku tidak menyangka bahawa selama ini abang menyimpan perasaan terhadapku. Ya, memang benar. Ketika abang terlibat dengan kemalangan lima bulan yang lepas, aku dan ayah datang melawatnya di hospital. Walaupun kami sekeluarga jarang-jarang berjumpa dan berhubung dengan keluarga abang tetapi apabila ada saudara-mara yang ditimpa masalah, kami sekeluarga seboleh-bolehnya akan menghulurkan bantuan. Jika tiada bantuan pun, kami akan datang melawat. Itulah yang diajar oleh ayah kepada kami sekeluarga. Bantulah orang lain mengikut kemampuan kamu, pasti Allah akan membantu kamu juga.

“Ana, cakap la sesuatu.”

Abang bersuara setelah lama terdiam. Aku tidak tahu hendak cakap apa ketika itu. Wajah abang ku pandang lama lantas aku senyum. Abang juga tersenyum. Mungkin hatinya berasa lega melihat aku senyum.

“Abang suka senyuman tu.” Beritahu dia.

“Senyuman ja?” sahaja aku bertanya begitu.

“Tak..abang suka Ana juga.” Jawabnya dengan nada yang rendah. Matanya merenung tepat pada wajahku. Senyuman di bibirnya semakin lebar. Hah! Bertenanglah wahai hati. 

                                                                       _TAMAT_